Sidang khas Majlis Keselamatan
![]() |
| beberapa orang anggota tentera Syria berdiri di atas sebuah kereta kebal yang berkawal di bandar Hama, kelmarin. Tentera Syria menggunakan kereta kebal menggempur bandar Hama bagi mematahkan pemberontakan di bandar itu kelmarin mengakibatkan sekurang-kurangnya 45 penduduk awam terbunuh. - REUTERS |
DAMSYIK 1 Ogos - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) hari ini diminta mengadakan satu sidang khas bagi membincangkan keadaan di Syria selepas pasukan keselamatan negara ini membunuh hampir 140 penunjuk perasaan dalam satu demonstrasi bantahan anti Bashar al-Assad.
Aktivis berkata, angka kematian serangan tentera Syria ke atas demonstrasi di Hama semalam mencecah sekurang-kurangnya 100 orang.
''Ia merupakan angka kematian paling tinggi sejak demonstrasi bermula pada 15 Mac lalu,'' kata ketua Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain, Rami Abdel Rahman.
Aktivis berkata, sekurang-kurangnya 136 orang terbunuh di seluruh negara dan angka itu dijangka meningkat ekoran sejumlah besar orang lagi cedera dalam kejadian itu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan pemimpin Eropah mengutuk serangan itu ketika Jerman dan Itali meminta Majlis Keselamatan PBB mengadakan satu sidang khas.
Satu pertemuan akan diadakan lewat hari ini namun tindakan itu bakal menambah perpecahan dalam Majlis Keselamatan ekoran pertentangan pendapat.
Majlis Keselamatan juga masih belum bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan keras Presiden Syria, Bashar al-Assad terhadap pembangkang.
Britain, Perancis, Jerman, Portugal dan AS mahu mengambil mengkritik tindakan Assad itu namun Rusia, China, Afrika Selatan, India dan Brazil yang marah dengan kempen serangan udara NATO di Libya, enggan menyokong kritikan itu.
Rusia dan China mengancam untuk menggunakan kuasa veto untuk membatalkan sebarang resolusi rasmi terhadap Assad. - AFP




0 comments:
Post a Comment