
ABU Seman Yusop (tengah) dan Amir Hamzah Aziz (kanan) bermesra dengan lima beradik dan ibu bapa mereka selepas menyerahkan sijil lahir di Kampung Air Hitam Darat, Masjid Tanah, Melaka, semalam.
ALOR GAJAH 29 Julai - Penantian sepasang suami isteri bagi memperoleh sijil kelahiran untuk lima anak mereka sejak hampir 10 tahun lalu berakhir hari ini.
Jamilah Zulkifli, 37, dan suaminya, Adnan Darus, 49, yang tinggal di Kampung Air Hitam Darat, Masjid Tanah di sini berkata, pendaftaran kelahiran kelima-lima anak mereka tidak dapat dilakukan sebelum ini berikutan sijil nikah mereka hilang.
Menurutnya, permohonan untuk mendapatkan penggantian juga masih belum berhasil.
Bagaimanapun, katanya, dia dan suami bersyukur kerana dua daripada lima anaknya tidak menghadapi masalah untuk bersekolah kerana mendapat surat sokongan daripada Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri.
"Dua anak saya tidak menghadapi masalah untuk bersekolah kerana Pembela BN telah mengeluarkan surat yang menyatakan sijil kelahiran untuk anak saya sedang diproses," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima sijil kelahiran bagi kesemua anaknya berusia setahun hingga sembilan tahun itu di rumahnya di Kampung Air Hitam Darat, Masjid Tanah di sini, hari ini.
Sijil berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop. Turut hadir Ketua Penyelia Pembela BN negeri, Amir Hamzah Aziz.
Menurut Jamilah, dia kini tidak lagi bimbang terhadap masa depan anak-anaknya terutama apabila mereka semakin meningkat dewasa.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Pembela BN, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Datuk (Abu Seman) kerana datang ke rumah saya bagi menyampaikan sijil kelahiran anak-anak saya ini," katanya.
Sementara itu, Abu Seman berkata, setiap ibu bapa perlu peka dan mengambil tindakan segera dengan memaklumkan kepada agensi berkaitan seperti Pembela BN sekiranya gagal untuk mendapatkan sijil kelahiran bagi anak mereka atas sebab-sebab tertentu.
"Kes ini berjaya diselesaikan cepat kerana lima beradik ini berusia bawah 12 tahun dan bagi kes orang dewasa, ia memerlukan prosedur tertentu yang memakan masa lebih lama," katanya.



0 comments:
Post a Comment